
Anak yang sedang membesar mempunyai lebih kecenderungan untuk bermain dan menunjukkan sifat ingin tahu mereka dengan banyak cara, dah tentu telatah mereka memberikan kita kebahagiaan walaupun penat melayan pelbagai kerenah mereka ^^, tetapi aktif luar biasa mungkin memerlukan perhatian yang lebih oleh ibubapa untuk mengenalpasti sama ada anak mereka aktif normal atau hiperaktif. Hiperaktif menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka adalah masalah terlampau cergas sehingga tidak dapat dikawal sama ada keadaan atau sifat.
Antara sikap kanak-kanak hiperaktif:
- Degil
- Suka membantah
- Suka melanggar peraturan terutama di sekolah
- Mudah leka dan tidak memberi tumpuan terhadap sesuatu hal
- Sering kali merasa tidak puas hati
- Sering tertekan
- Menghadapi masalah dalam pelajaran dan hubungan sosial
- Cepat takut dan risau
- Suka berpeluh dan mengalami masalah sakit perut atau cirit birit.
Hiperaktif dikategorikan kepada tiga tahap iaitu :
Berkelakuan terlalu aktif
Tahap aktiviti motor yang tinggi iaitu sentiasa bergerak ke sana ke mari, berlari tanpa rasa penat, tidak boleh duduk diam dan sentiasa gelisah. Kanak-kanak yang berkelakuan seperti suka berlari, memanjat perabot dan tidak boleh berdiam diri juga tergolong sebagai kanak-kanak hiperaktif.
Kurang tumpuan
Tidak boleh menumpukan perhatian pada guru di sekolah atau tadika dan tidak berupaya menghabiskan tugas diberikan atau aktiviti permainan. Biasanya, mereka mudah beralih pandangan dari satu perbuatan ke perbuatan lain dan sering kali tidak mendengar apabila
orang cuba bercakap dengannya dan tidak boleh duduk bermain dengan lama seperti kanak-kanak lain.
Mengikut dorongan hati
Tingkah laku impulsif dan memenuhi kehendak diri dengan segera. Biasanya, mereka tidak suka menunggu giliran dalam permainan dan suka mengganggu orang lain. Tindakannya di luar kawalan, cepat berubah melakukan sesuatu dan tidak mengikut arahan.
Masalah ADHD atau Hiperaktif (attention-deficit/hyperactivity disorder) ini juga cenderung berlaku pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Kurang tumpuan terhadap pelajaran menyebabkan mereka lewat menerima dan membantutkan pencapaian pendidikan. Masalah ini kerap alami kanak-kanak prasekolah dan ia boleh menjejaskan pencapaian bidang pelajaran pada peringkat awal kanak-kanak.
Kaedah rawatan dan cara menangani :
- Secara pengurusan emosi yang berkesan, seperti tidak meninggalkannya bersendirian semasa bergaul dengan kanak-kanak lebih muda. Berkemungkinan dia akan melakukan kekerasan seperti mencederakan kawan dan diri sendiri.
- Jauhkan alatan berbahaya dan tajam supaya dia tidak mencederakan dirinya sendiri, tegur dan elak menunjukkan perbuatan kasar kerana kanak-kanak hiperaktif mudah meniru pelakuan ibu bapanya.
- Ibu bapa perlu tahu bahawa kanak-kanak ini memerlukan perhatian, kasih sayang yang lebih dan jangan merendah-rendahkan dirinya di depan orang lain hingga dia terasa tidak disayangi.
- Lazimnya, kanak-kanak hiperaktif melakukan sesuatu tanpa memikirkan orang lain di sekelilingnya, cuma ikut hatinya saja dan suka bermain bersendirian. Jika tidak diubati, berkemungkinan penyakit ini akan berterusan hingga mereka dewasa. Jadi didik lah mereka sejak daripada kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya. ^^
Sumber ; Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan